Maksud Niat Bersyarat
Niat bersyarat ialah meletakkan syarat semasa berniat ihram haji atau ihram umrah.
Niat ini dilakukan apabila seseorang berasa bimbang atau khuatir akan ada halangan beliau meneruskan niat haji atau umrahnya, seperti akan menghadapi halangan musuh, sakit atau kedatangan haid bagi wanita.
Tanpa ada halangan ini niat bersyarat adalah tidak digalakkan.
Cara atau kaifiat melakukan niat bersyarat ialah menyertakan syarat dalam hati semasa berniat, bukan meletakkan syarat selepas berlalu satu tempoh selepas berniat.
Pandangan Mazhab Syafi’i:
Mazhab Syafi’i secara terang-terangan mengharuskan dan membenarkan niat ihram secara bersyarat (isytirat) bagi ibadah haji dan umrah. Sandarannya sudah tentu hadis Dhuba’ah yang tidak dapat disangkal. Apabila seseorang berniat ihram secara bersyarat, dan halangan yang disyaratkan itu benar-benar berlaku (misalnya, sakit yang menghalang), maka dia dibenarkan untuk bertahallul. Cara tahallulnya adalah dengan berniat untuk keluar dari ihram, kemudian bercukur atau menggunting sekurang-kurangnya tiga helai rambut. Implikasi paling manis? Jemaah tersebut tidak dikenakan dam (denda)! Melainkan jika dia sendiri mensyaratkan dalam niatnya untuk bertahallul dengan membayar dam.
NIAT IHRAM UMRAH BERSYARAT
Terdapat tiga keadaan niat ihram bersyarat bagi jemaah haji wanita:
Yang dibolehkan:
- Dalam keadaan tidak berhaid dia berniat ihram dengan menyertakan syarat; “Sekiranya aku kedatangan haid dan haidku berterusan sehingga tarikh pulang maka jadi halallah aku.”
- Dalam keadaan berhaid dia berniat ihram dengan menyertakan syarat; “Jika haidku berterusan sehingga tarikh pulang maka jadi halallah aku.”
Yang tidak dibolehkan:
Dalam keadaan tidak berhaid dia berniat ihram biasa (tanpa syarat), kemudian ketika didatangi haid dia berkata; “Jika haidku berterusan sehingga tarikh pulang maka jadi halallah aku.”
Adakah Perlu Terus Bertahallul Sekiranya Datang Haid?
Wanita yang mengalami kedatangan haid dan diyakini bahawa haidnya akan berakhir / berhenti sebelum dia meninggalkan Makkah, maka dia tidak boleh bertahallul dan perlu menunggu sehingga haidnya itu berhenti. Kemudian, barulah melaksanakan rukun yang berbaki itu.
Kami menasihati wanita yang mengalami haid ketika menjalankan ibadah umrah untuk tidak terburu-buru bertahallul, tetapi sebaliknya menunggu hingga ke satu tempoh di mana ia jelas bahawa mereka tidak akan dapat menyelesaikan ibadah umrah.
Penting untuk diingatkan bahawa sepanjang tempoh menunggu ini, sebelum bertahallul, mereka masih terikat dengan semua pantang larang ihram.
Ini bermakna, sepanjang menunggu haid berakhir, mereka harus tetap mematuhi semua larangan yang berkaitan dengan ihram, termasuk larangan-larangan berkaitan dengan penampilan dan tingkah laku.
Dalam Resolusi Muzakarah Haji yang ke-34, ada dinyatakan bahawa niat bersyarat adalah satu pengecualian untuk keadaan tertentu yang amat mendesak, yang mungkin menghalang seseorang daripada menyempurnakan ibadat haji atau umrah mereka.
Khusus untuk jemaah wanita, niat bersyarat ini lebih dititikberatkan ketika melakukan umrah dan tidak dibolehkan semasa menjalankan ibadat haji.
Ini menunjukkan kelonggaran dalam pelaksanaan ibadah haji dan umrah, terutamanya dalam keadaan yang tidak dapat dielakkan.
Mengerjakan Tawaf Apabila Darah Terhenti Tetapi Masih Tempoh Haid (Fatrah al-Naqa’)
Fatrah al-Naqa’ secara ringkasnya boleh difahami darah haid terhenti ditengah-tengah tempoh haid (15 hari).
Oleh itu apakah hukum mengerjakan tawaf dalam tempoh ini?
Berikut adalah ringkasan yang saya perolehi daripada Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri:
Dalam hal ini, terdapat dua pendapat dalam mazhab Syafi‘i.
Pertamanya, pendapat al-Sahb — dan ini merupakan pendapat yang muktamad — iaitu fatrah al-Naqa’ (tempoh faraj bersih daripada darah) yang berada pada waktu selang antara keluarnya darah haid, yang di dalam tempoh 15 hari, juga dianggap sebagai haid kerana kerana adat kebiasaan haid seorang wanita boleh berubah. Manakala darah yang keluar melebihi 15 hari dianggap sebagai darah istihadhah.
Manakala pendapat kedua pula, yakni pendapat al-Laqt, iaitu menganggap fatrah al-Naqa’ itu sebagai waktu suci.[2]
Oleh itu, pendapat kedua ini menatijahkan bahawa amalan puasa, solat dan tawaf yang dilakukan dalam tempoh tersebut adalah sah.
Inilah juga pendapat yang banyak difatwakan oleh ramai ulama kontemporari, apabila melibatkan perlaksanaan ibadah haji dan umrah yang terikat dengan kemampuan ekonomi dari segi bebanan kewangan kerana tambahan perbelanjaan, peningkatan kos hotel, kos pengangkutan seperti tambang tiket kapal terbang atau bas, visa dan kebersamaan dengan rombongan.
Kesimpulan
Mengikut perbahasan ini, pendapat yang diutamakan adalah bahawa masa suci (fatrah al-Naqa’) bagi wanita yang melakukan umrah dianggap sebagai waktu suci.
Oleh itu, solat, tawaf, dan ibadah lain yang dilakukan dalam tempoh ini adalah sah.
Namun, wanita tersebut perlu mandi wajib sebelum menyelesaikan tawaf. Dia tidak perlu menunggu 24 jam selepas berhenti haid untuk memulakan tawaf.[3]
Jika haid datang semula setelah tawaf selesai, ini tidak mempengaruhi kesahan tawafnya.
